Badan Dakwah dan Ibadah (BADIB)
SMA Al-Khairiah, Temerloh

::Bala Tuhan 'godam' Kuala Lumpur

Warga kota dikejutkan dengan “tsunami” dahsyat menyelubungi Kuala Lumpur, Ahad lalu pada sebelah malamnya (10hb. Jun 2007) sehari selepas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi diijabkabulkan dengan Jeanne Abdullah.

Hujan yang mencurah turun, tidak disangka menjadi bala Tuhan yang menggodam ibu negara. Segala kecanggihan terkini, tiada nilainya lagi. DBKL dan aneka perancangan bandarnya, tidak upaya membungkus bala Tuhan yang datang mendadak itu. Semuanya akur, menerima takdir illahi.

Jalan utama menjadi kaku. Air melimpah ruah lebih dari satu meter. Tiada lagi jalan bertar kelihatan di Jalan Masjid India dan Jalan Ipoh. Kampung Baru, Keramat, Kampung Chubadak dan Sentul tenggelam teruk.

Paling dahsyat, air banjir turut menjenguk sehingga ke ruang sembahyang Masjid Jamek, Jalan Raja yang terletak betul-betul dipertembungan dua sungai iaitu Sg. Gombak dan Sg. Klang. Masjid klasik itu terletak kira-kira 10 meter dari paras normal kedua-dua sungai berkenaan.

Dataran Merdeka turut berselimut air separas pinggang (seperti bendang luas yang melaut di Yan, Kedah) hingga memburukkan pandangan Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad. Tidak diketahui, bagaimana nasib peniaga dan barangan dagangan mereka yang menjalankan bisnes di bawah perut Dataran Merdeka itu.

Pernah sekali dulu, air menerjah masuk ke pusat perniagaan di bawah perut Dataran Merdeka itu. Akibat dari banjir kilat juga. Tetapi tidak seteruk Ahad lalu. Namun, kerugiannya mampu untuk melingkupkan peniaga Bumiputera dan menambahkan penganggur.

Di Kuala Lumpur, ketakutan dan kekalutan yang amat sangat bila hujan turun ialah kesesakan lalu lintas. Jika kereta tiada penghawa dingin, sudah tentu penghuninya pitam dan pengsan. Namun, kesesakan kali ini, amat menakutkan. Berjam-jam lamanya!

Entah berapa lama kenderaan terkandas di jalan raya, tidak diketahui dengan tepat. Hujan lebat bermula sebelum jam 6 petang dan berlarutan hingga jam 9 malam, telah melumpuhkan ibu kota. Kenderaan dimasuki air dan penghuninya diselamatkan oleh Jabatan Pertahanan Awam (JPA3).

Kali ini, banjir benar-benar menggodam ibu kota walaupun tidak seteruk banjir 1971. Ketika itu, beberapa kampong di Selangor dan Kuala Lumpur dibungkusi banjir termasuklah Kg.Haji Abdullah Hukum, Kg. Baru, Semenyih, Kg. Arang Batu dan penempatan Orang-Orang Asli Changkat Bintang di Hulu Selangor.

Ibu kota ketika itu terputus hubungan terus dengan dunia luar dan pasaran saham terpaksa dihentikan kerana seluruh Kuala Lumpur digodam banjir dahsyat.

Tetapi, banjir Ahad lalu dilaporkan paling teruk melanda Jalan Masjid India, Jalan Ipoh dan Kampung Baru. Bot-bot penyelamat juga gagal mengesan dan menyelamat mangsa kerana terperangkap teruk dicelah-celah hutan batu dan kesesakan trafik.

Seperti tsunami menggodam Acheh, kerajaan tetap dipersalahkan kerana gagal memberi isyarat awal. Dalam isu ini, apakah peranan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan DBKL? Mereka gagal memberi amaran awal kepada para penduduk bagi menghadapi banjir ini.

Kenaikan air di Sg. Gombak, Sg. Batu dan Sg. Kerayong telah diketahui lebih cepat tetapi tiada amaran dikeluarkan oleh mereka termasuklah Jabatan Bomba sehingga beberapa kawasan sudah terhantuk baru terngadah, ditenggelami air.

Menurut rekod, sudah tiga kali banjir menggodam ibu kota pada tahap yang sama. Projek Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART) masih gagal berfungsi sekalipun Menteri Kerja Raya, Samy Vellu telah mengumumkan (menipu) SMART siap sepenuhnya. Walhal, kolam tadahan air di Kg. Brembang dan Taman Desa, belum siap dan SMART hanya boleh digunakan Julai ini.

Tiba-tiba, bagi membungkus pekung di dada, Samy mengumumkan kadar tol RM2.00 untuk pengguna SMART keesokan harinya (11hb. Jun 2007). Langkah ini disifatkan sebagai kurang ajar. Tidak peka dan menyakitkan hati.

Rakyat rasanya mula tidak yakin dengan JKR dan Samy. Banyak projek yang retak, runtuh dan sengit. Semuanya telah diluluskan dan mengikut piawaian. Apakah SMART selamat digunakan? Khuatir juga, takut-takut pengguna tenggelam dalam terowong yang belum siap sepenuhnya itu.

Kebiadapan Samy Vellu ini sebenarnya simbol keangkuhan BN di Malaysia. Belum reda lumpur dibersihkan, trauma kesesakan masih muda; Samy sudah memberi “hadiah” kepada warga kota yang terperangkap Ahad lalu dengan dikenakan tol RM2 bagi penggunaan SMART.

Sama ada benar atau tidak keupayaan SMART boleh mengurangkan kesesakan trafik dan membuang air banjir kilat di ibu kota, belum teruji. Secara teorinya, inilah satu lagi mercu tanda penemuan terhebat negara dalam menyelesaikan dua masalah tersebut.

Namun, bala Tuhan yang menggodam ibu kota Ahad lalu tetap membuktikan betapa hebatnya Allah SWT dan lemahnya manusia dalam pembikinan teknologi dan cara berfikir mereka.

Rupa-rupanya, bangunan Menara KLCC yang tertinggi mencakar langit, Menara Kuala Lumpur yang angkuh berdiri, Terowong SMART yang tercari-cari arah; membungkus seribu kelemahan dan ketololan manusia berdepan dengan “kekuatan” air yang menjadi sebahagian tentera ciptaan Allah.

Bagi orang yang beriman, lihatlah banjir itu sebagai bala dari Allah atas kemaksiatan yang dilakukan oleh manusia di muka bumi ini!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Know us

BADAN DAKWAH DAN IBADAH (BADIB) SMA AL-KHAIRIAH,TEMERLOH PAHANG

Our Team

Contact us

Nama

E-mel *

Mesej *