Badan Dakwah dan Ibadah (BADIB)
SMA Al-Khairiah, Temerloh

DI AKHIR RAMADHAN : AMBIL SATU BUANG SATU.

subuh tadi, tazkirah saya di akhir ramadhan.

Sahabat yang dicintai.. kalau kita bermusafir, kata pujangga: "Bawalah pulang cenderahati walau seketul batu". Begitulah sepatutnya kita.. apabila melangkah keluar dari ramadhan, bawalah setidak-tidaknya satu amalan yang telah kita laksanakan di dalamnya.
Ambil dan kekalkanlah mana-mana satu dari amalan yang kita rasa dapat kekalkannya sejak memasuki syawal hinggalah bertemu ramadhan akan datang. Entah itu solat dua rakaat dhuha, zikir-zikir ringkas, sedeqah seringgit sehari, solat witir setiap malam, bacaan al Quran sehari sehelai.. atau apa-apa saja buah tangan ramadhan yang amat banyak itu.
Jangan sampai langsung satu pun tak ada, umpama daun pokok yang luruh kesemuanya. Amatlah malang kalau ramadhan tak mengubah apa-apa pun pada diri kita, selain jadual makan. Manakala nafsu syahwat masih tetap mengagahi, taqwa kita pula yang digagahi.
Kita kena akur akan hakikat bahawa kita sebenarnya masih tetap tewas kepada hawa nafsu sekalipun tidak dibantu syaitan. Bagaimana akan menang pasukan taqwa kalau hanya pemain handalan bernama puasa saja satu-satunya yang diturunkan, manakala yang lain dibangku simpanankan. Sebaliknya pasukan nafsu hanya kehilangan penyerang licik iblis.. sedangkan kesebelasan handalan lain tetap diturunkan.
Manakala mata, perut, mulut dan anggota lain tidak dikawal, qiamullail tidak diturunkan, lailatul qadr tidak dimasukkan.. bagaimana kita akan menang?. Sungguhpun secara keseluruhannya kita tak menang,.. tapi takkanlah cenderahati sebagai hadiah saguhati pun tak boleh dibawa pulang?. Murah pun tak apa asal ada. Biarlah sedikit amalan yang dibawa pulang dari ramadhan, tetapi berterusan.
Bila kita dah ambil sesuatu, buang dan tinggalkan pula sekurang-kurangnya satu sifat mazmumah yang telah kita lazimi sepanjang ramadhan. Entah itu sifat pemarah, mengumpat, bercakap kosong, kedekut atau apa-apa jua salah satu dari keharaman yang mesti kita tinggalkan. Kita pasangkan azam tidak akan kembali kepada keharaman tersebut. Letaklah target sederhana.. setidak-tidaknya hingga ramadhan tahun depan.
Inilah yang saya maksudkan dengan ambil satu dan buang satu di atas tadi. Bayangkan.. kalau setiap orang melaksanakan konsep ramadhan yang sesederhana ini, alangkah amannya dunia tempat kita hidup ini. Sayangnya.. perubahan ini terlalu lambat. Di lambatkan oleh manusia-manusia yang tak punca cita dan pengharapan apa pun dari ramadhan.
Realiti yang terjadi...untuk satu-satu perubahan saja.. umat ini memerlukan puluhan tahun, sedangkan kita ada terlalu banyak sifat mazmumah yang nak ditinggalkan. Kita ada puluhan amal taat yang mesti diupgrade sama ada dari kualiti maupun kuantitinya. Kita perlukan banyak peringatan untuk mengikis kedegilan ini.
Kita kebosanan dengan tazkirah, .. ada yang menolak terus masjid dan surau mereka dari tazkirah, ada yang mengadu kejemuan kalau melebihi 20 minit atau jemu kerana point yang sama diulang-ulang. Saya katakan.. kita nak pengisian baru, sedangkan yang sudah lama ditazkirahkan masih liat nak diamalkan!. Hati kita terlalu liat hendak ditundukkan kerana mazmumah masih menjadi raja di sana.
Oleh kerana banyak dan kroniknya penyakit kita.. layaklah dihadapkan tazkirah yang sedikit lama. Kalau kita ini umpama pelajar sekolah dulu; tak lulus tak naik kelas.. maka itulah kita sekarang ini. Kita tertahan puluhan tahun di kelas yang sama untuk satu satu mata pelajaran. Maka layaklah kita ini hanya mengafal sifir ramadhan; ambil satu buang satu. Jauh sangatlah nak menjangkau formula ramadhan khawas apatah lagi khawasul khawas!.
-------------
Semoga bertemu ramadhan akan datang, mohon maaf andai tazkirah saya menyinggung perasaan atau kurang berkesan kerana tak cukup nilai ilmiahnya atau tak berjejak di bumi nyata.


إن أريد إلاصلاح ما استطعت ، وما توفيقي إلا بالله.


Nukilan : Ustaz Abdul Karim (Kulliah Al-Lughah Waddin, Pekan)

Bismillah.

Assalamualaikum Wa Rahmatullah

Alhamdulillah thumma alhamdulillah, bertemu kita untuk laporan pada kali ini. Laporan kali ini berkisar mengenai Program yang kami telah rancang dan telah dilaksana pada bulan Ramadhan iaitu pada 27 Jun. Program yang dinamakan Misi Kembara Dakwah. Berkonsepkan dakwah dan amal. BADIB mengambil insiatif untuk turun padang ke dua tapak Bazar Ramadhan utama di Temerloh iaitu di Bazar Ramadhan Temerloh dan Bazar Ramadhan Taman Temerloh Jaya. BADIB telah mengedarkan satu risalah mengenai kelebihan 10 malam terakhir di bulan Ramadhan. Selain itu, kami turut mengedarkan kurma kepada pengunjung dan peniaga bazar. Program ini telah berlangsung dengan jayanya dengan kerjasama pihak Persatuan Alumni Pelajar Sekolah Menengah Agama Pahang (PERMAI). bersama laporan ini kami sertakan dengan gambar-gambar sepanjang program tersebut. 

Bazar Ramadhan Taman Temerloh Jaya





Di Bazar Temerloh






Sekian sahaja laporan untuk kali ini. Seeru 'Ala Barakatillah.

Ramadhan Kareem !













Know us

BADAN DAKWAH DAN IBADAH (BADIB) SMA AL-KHAIRIAH,TEMERLOH PAHANG

Our Team

Contact us

Nama

E-mel *

Mesej *