Badan Dakwah dan Ibadah (BADIB)
SMA Al-Khairiah, Temerloh


Surah Al-Hadid
Ayat 16
          “Tidakkah sampai waktunya bagi orang-orang yang beriman itu, untuk menundukkan hati-hati mereka bagi mengingati Allah, dan mengambil peringatan daripada al-Quran yang diturunkan dengan benar itu?  Dan janganlah mereka menjadi seperti orang-orang yang diberikan kitab sebelumnya (yahudi & nasrani).  Telah berlalu bagi mereka itu waktu yang panjang lalu hati mereka menjadi keras.  Dan kebanyakan mereka itu ialah orang-orang yang fasiq.”
Ayat ini mengungkaikan tentang introspeksi diri terhadap tahap keislaman umat islam di zaman kenabian.
Dalam menanggapi lenggok tadabbur tentang ayat-ayat Tuhan yang bertemakan pengajaran, muhasabah dan refleksi semisal ayat ini, syarat-syarat yang perlu ada pada seseorang itu mestilah lengkap, agar maksud tadabbur itu tercapai iaitu melembutkan ufuk batin yang secara semulajadinya dahagakan buah-buah pengajaran yang segar.
Pertama, anda perlukan nilai akademik dalam disiplin tafsir, seperti mahir berbahasa arab, nahu, saraf dan kaedah-kaedah tafsir.  Keduanya ialah nilai spiritual yang akarnya ialah keikhlasan, kejujuran dan kemahiran menganalisis seperti yang akan dihuraikan contohnya nanti.  Nilai yang kedua ini lebih diperlukan apabila mengkaji ayat-ayat sebegini.
Mungkin ada orang yang melingkar padu butir-butir ilmu tafsir dalam benaknya, tetapi masih belum bertemu dengan maksud tadabbur dan mengambil pengajaran yang sebetulnya.  Ada juga yang terlalu longgar dalam mendongak disiplin akademiknya, dari sudut bahasa dan nas, serta bergelumang semaksimanya dengan aspek psikologinya sehingga tersasar jauh dari maksud sebenar.  Wallahualam.
Surah ini diturunkan sekitar jeda empat tahun setelah orang-orang Islam melakukan penghijrahan dari Mekkah ke Madinah, yakni kurang lebih 17 tahun setelah mereka dididik langsung dengan embrio tarbawi Rasulullah SAW sendiri, seolah menagih kesedaran daripada penitian mereka selama itu di atas lingkaran jalan-jalan kepayahan, mehnah, tribulasi dalam pembinaan syariat Islam itu sendiri.
Mereka merupakan ketumbukan generasi yang pergaulan sehari-hari mereka bersendikan wahyu seratus persen.  Bahkan acap kali setiap tindak-tanduk mereka itu sepenuhnya berasaskan tunjukan langsung daripada Nabi SAW.  Umpanya pelbagai persoalan yang terkumpul dan dibukukan di dalam sirah-sirah dan hadith nabawi berpusatkan tentang pertanyaan mereka dalam hukum-hakam yang berbungkal setiap hari, yang menjadi perangkaan dalil para ulama’ selamanya.  Dalil-dalil yang berkait sebermula kerdipan mata pertama di pagi hari sehinggalah kembali melelapkannya pada malam hari, semuanya melalui jalur generasi sahabat.
Penurunan peringatan sebegini umpama hampasan hempedu untuk disantap. Namun teguran umum ini tidak langsung membawa makna kerapuhan pertahanan rohani mereka sehingga bermaksiat, kerana para sahabat telah sepakat dengan ijma’ tentang kebebasan mereka daripada melakukan kesalahan dosa besar.
Ayat ini turun buat menyulamkan keteguhan supaya mereka yang merupakan generasi sebaik-baik martabat terus fokus dan menggembleng tenaga semaksima mungkin demi mencapai tujuan sebenar hidup mereka, iaitu kerana Tuhan.  Mereka ditegur langsung oleh Tuhan walaupun jaringan hidup mereka di sisi Rasul pemberi ingatan.
Hal ini bererti muhasabah bukanlah sekadar intonasi selingan yang datang sebagai cebisan atau sampingan dalam hidup kita sehari-hari.  Generasi sahabat bukanlah generasi yang dibuai picing-picing kelalaian dan kemaksiatan, namun mereka masih ditegur tentang ‘kelalaian’ mereka melalui ayat ini.
Sahabat-sahabat merupakan generasi terbaik yang berinteraksi dengan sapaan ayat-ayat Tuhan dengan petunjuk kenabian sama ada dari sudut hukum-hakam, aqidah dan kepercayaan mahupun mentadabbur pengajaran-pengajaran daripada pemahaman al-Quran itu.
Menurut At-tabari, Abu Dzar Al-Ghifari r.a tatakala diturunkan satu ayat tentang neraka Jahannam dan sifatnya, di dalam Surah Al-Hijr ayat 43-44 :
“Sesungguhnya neraka Jahannam itu benar-benar dijanjikan bagi mereka (orang-orang kafir) itu semuanya.  Ia mempunyai tujuh pintu, dan bagi setiap pintu itu sudah ada bahagian yang ditetapkan.”
Lantas beliau diselimuti kesuraman, dibebani keresahan sehingga menyisihkan diri dari Rasulullah SAW selama beberapa hari sehingga disedari oleh baginda SAW.
Sehinggalah Abu Dzar r.a dibawa menghadap Rasulullah SAW dan menceritakan sebabnya mengasingkan diri daripada baginda SAW, iaitu berasa gerun dan takut dengan ancaman neraka.
Justeru didatangkan kemudian khabar gembira tentang syurga yang diperoleh orang-orang beriman di dalam ayat 45-50, yang menyejukkan perdu hati Abu Dzar r.a.
Acap kali hambusan sejarah menukilkan ketaatan para sahabat yang melangit terhadap perintah Allah dan Rasulnya, dan mereka amat berhati-hati dengan perkara tersebut, antaranya dalam soal hukum-hakam.
Ibn Abbas r.a. meriwayatkan sebuah peristiwa di dalam Sahih Bukhari di kala Rasulullah SAW melihat sebuah cincin daripada emas yang berada di jari salah seorang sahabatnya, lantas dicabut dan dibuangnya oleh baginda SAW.
Kemudian baginda bersabda,
“Seseorang kamu cenderung untuk memakai cebisan daripada neraka, dan meletakkannya di jarinya.”
Setelah itu, sahabat yang dibuang cincinnya itu diberitahu supaya diambil cincinnya dan dijual sebagai ganti rugi, lalu dia menjawab :
“Demi Allah, aku tidak akan mengambilnya.  Sesungguhnya ia telah dibuang oleh Rasulullah SAW.”
Demikian sekali sifat wala’ yang dizahirkan sahabat ini terhadap nabi junjungan.  Padahal tidak ada salahnya menjual kembali emas itu, kerana emas diharuskan di dalam jual beli.
Apatah lagi dalam hal aqidah, yang menjana tunjang kehidupan mereka sehari-hari.
Di dalam Sohih Muslim, Umar ibn Al-Khattab ketika mendengar sabda Rasulullah SAW ;
“Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah aku (Rasulullah) lebih dicintainya lebih daripada bapanya, anaknya dan manusia lain seluruhnya.”
Lalu beliau bertanya, “Bagaimana kalau aku lebih mencintai diriku berbanding kamu wahai Rasulallah?”
Baginda SAW menjawab “Tidak sempurna.”
Langsung beliau berkata,
“Sekarang kamu lebih aku cintai.”
Kecintaan terhadap Rasulullah SAW, yang merupakan antara pokok keimanan terus sahaja meresap ke dalam hatinya, umpama pohon nyiur yang akrab mencengkam pasir.  Ia dibuktikan dengan peranan Umar yang menjadi antara nadi perjuangan Rasulullah SAW.
Di awal surah ini, Tuhan menyusun kata-kata-Nya dengan rangkaian fakta yang telah lama bertapak di dalam lubuk sanubari para sahabat Rasulullah SAW :
“Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi itu bertasbih memuji Allah, dan Dialah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
Masakan mereka masih tidak tahu asas akidah tentang Tuhan sebegini  setelah empat tahun melewati lorong tarbiyah Rasulullah SAW.
Demikianlah ironinya penurunan ayat ini, enam ayat yang pertama dari surah ini mengisyaratkan seolah Tuhan memperkenalkan dirinya semula kepada orang-orang yang sudah lama mengetahuinya.  Padahal ayat-ayat Tuhan berkaitan akidah sudah terdahulu diturunkan dalam bentuk makkiyyah, agar menjadi ramuan asas dalam adunan agama sehingga tidak sewenangnya dikakis dari dada-dada para sahabat terutamanya ketika berada di Makkah.
Namun para sahabat masih terhenyak hati-hati mereka dan bergetar tubuh-tubuh mereka menerima suruhan introspeksi daripada ayat-ayat ini.
Hal ini membuktikan, kekuatan bisikan muhasabah ke dalam hati seseorang bergantung kepada sejauh mana keimanan dan kefahamannya terhadap Tuhan, dan segala yang datang daripada-Nya.
Mahu meruntunkan hati sendiri dengan titik-titik perubahan mestilah berpaksikan kesedaran bahawa anda tidak berkuasa ke atas sesuatu pun, seperti diisyaratkan melalui surah ini ;
  • Di sana ada Tuhan yang menguasai segala sesuatu, yang menjadi pemilik tunggal keseluruhan alam ini, yang menghidupkan dan mematikan seluruhnya, yang memegang langit dan bumi dengan kekuatan-Nya yang tiada tolok banding. Dongaklah ke layar langit yang masih terkapai-kapai kita mengkajinya, dan tanyakan ; siapakah yang mencipta langit?  Adakah manusia? Mustahil bukan? Siapakah yang lebih layak daripada manusia di atas muka bumi ini untuk mencipta langit? Binatang? Mustahil bukan?  Dia Tuhan yang menciptakan graviti dan mengimbangi berat bumi yang menanggung beban berbilion makhluk.

  • Di sana ada Tuhan yang mengetahui segalanya tentang kamu. Dia punya perhitungan yang tersendiri terhadap segala lukisan yang tersembunyi daripada hatimu, apatah lagi yang terzahir.  Cukuplah kamu ketahui, sekalipun hidupmu di dunia ini beralun lunak dengan kenikmatan yang pelbagai tanpa rasa susah, setiap cebisan nikmat itu akan kelak susah juga tika dihitung halus di hari kemudian.   Cukuplah Tuhan menjaminmu bahawa kamu akan pulang selamanya nanti kepada-Nya.  Janji-Nya tentang balasan nikmat dan azab dari syurga yang membunuh segala bayang-bayang keresahan dan neraka yang mengecurkan segala sukacita nanti bukanlah satu ilusi, ataupun kesamaran yang masih belum pasti.  Kamu tahu bahawa tiada manusia yang mampu menceritakan hal ehwal pasca-kematian dengan hujah yang kukuh, melainkan apa yang datang dari wahyu.  Justeru apa yang membuat kamu ragu?
Sesungguhnya embun-embun halus warkah Tuhan yang megusik benak kita daripada pernyataan ayat-ayat ini berada jauh di luar lingkaran zon kemahiran kita sebagai seorang manusia, daripada menghidupkan dan mematikan sehinggalah segala struktur pembinaan alam ini, segalanya tidak pernah terlangkau dek kemampuan manusia dan mustahil sekali selama-lamanya untuk mengupayakannya, melainkan fitnah Al-Masih nanti yang satu-satunya warid daripada nas sebagai ujian di akhir zaman yang mampu menghidupkan dan mematikan.  Selain itu, tiada upaya sebegitu bagi manusia, walau secanggih mana muatan transformasi dan teknologi.
Antaranya Tuhan menyebutkan perihal malam dan siang :
“Dia memasukkan waktu malam ke dalam siang, dan memasukkan siang ke dalam waktu malam.”
Falsafah waktu dan zaman selamanya tidak akan bebas dari waktu siang dan malam.  Ia membuktikan waktu ibarat sebuah lingkaran ulangan yang senantiasa dibilang-bilang butirnya.  Semua manusia akan mati juga nanti, sementara itu proses pengembangan dan pembiakan baka manusia tidak akan terhenti.  Proses ini akan terus berangkai sehinggalah hari kiamat.  Ia menjadi bukti yang didongak bagi mencari keteguhan iman, bahawa Tuhan berkuasa mengulang-ulang akan sesuatu seperti malam dan siang ini, bulan dan matahari serta kitaran hidup manusia, sehinggalah waktu yang dijanjikan tamatnya tiba, yang tiada seorang pun di muka bumi ini mampu mengongsi faktanya.  Justeru apa yang membuat kita ragu bahawa hidup kita akan ‘diulang’ lagi setelah kematian?  Bahkan, waktu akan datang kembali dan ia akan menjadi seperti sejarah yang berulang.
Falsafah kedua tentang waktu ialah linier, iaitu umpama sebuah garis yang lurus.  Ada mula dan akhirnya.  Ianya lebih khusus, dan lebih jelas.  Waktu akan berlalu dan terhenti di hujungnya.  Usia muda berlalu dan tiada harapan untuk digali semula masanya buat seorang manusia.  Usia tua juga akan berlalu apabila dijemput kematian.  Realiti ini tidak dapat dimungkiri siapa pun, bahkan berakhirnya waktu itu akan terjadi kepada seluruh kehidupan, pohon-pohon, binatang dan tidak terkecuali manusia.  Justeru apa yang menjadikan kita ragu bahawa dunia ini juga akan ‘terhenti’ dengan Hari Kiamat?
Falsafah-falsafah tentang waktu sebegini akan sangat memberi kesan pada setiap ufuk sanubari yang waras.  Kita tahu waktu kita akan terhenti dan sejarah kita akan diulang di alam sana yang jauh sekali berbeda keadaannya, sedang kita tiada kuasa sedikit pun untuk mengawal arus masa lalu dan akan datang.
Setelah Tuhan ‘memperkenalkan’ kembali diri-Nya melalui ayat-ayat ini, untuk ditekuni kembali oleh sahabat, Dia menunjukkan pula seterusnya bagaimana kaifiat muhasabah seharusnya mengembang :
“Hendaklah kamu beriman kepada Allah dan Rasulnya, dan bersedekahlah daripada harta yang dijadikan kamu pemiliknya yang sementara, maka orang-orang yang beriman daripada kalangan kamu itu, dan bersedekah, maka bagi mereka ganjaran yang besar.”
Warkah bicara Tuhan bersambung dengan suruhan untuk melakukan amal salih.  Introspeksi tidak berakhir dengan semata renungan dan sentimen-sentimen yang menyentap jiwa.
Buah-buah yang tertumbuh selepas sesebuah refleksi tidak boleh dibiarkan membasi dan berkulat di dalam sangkar diri sahaja, ataupun hanya dicatit kemudian dibiarkan, ataupun sekadar menjadi modal mengahangatkan ceramah-ceramah dan pengisian.
Sisa-sisa yang dihemburkan keluar itulah yang menjadi kayu ukurnya, berupa amalan-amalan zahir mahupun batin.
Misalnya, terdahulu Tuhan menyebutkan bahawa Dialah yang memiliki sesisi dunia ini, tidak terkecuali harta-harta yang kita punyai.  Lalu Dia mengkhabarkan bahawa kita hanya dipajakkan buat sementara waktu dalam pengendalian harta itu.  (Ayat 8)
Dari itu, Dia membentangkan kaedah-kaedah yang menyeluruh tentang penggunaan harta.  Dari bab muamalah dan jual beli, rasuah, mencuri, kezaliman dan penindasan dalam soal harta, wasiat dan hukum-hakam harta pusaka, nafkah dalam soal keluarga dan lain-lain.
Tuhan menyebutkan suruhan untuk bersedekah sebagai salah satu bentuk amalan, di kala para sahabat ketika itu sudah berjaya membentuk masharakat bernegara yang pertama bertunaskan kalimat-kalimat Tuhan.
Ketika itu, mereka lebih senang dan selesa berbanding keadaan sebelum daripada peristiwa hijrah dari Mekkah ke Madinah.  Ketika berada di Mekkah, umat islam tidak mempunyai negara sebagai teduhan perdu mereka, sehingga sering sekali dizalimi dan diseksa oleh kaum musyrikin.  Di waktu itulah, ramai di kalangan umat islam menginfakkan harta dan jiwa mereka demi meneruskan agenda syariat Islam ini.
Sewaktu di Madinah, Tuhan menegur tentang persoalan infak ini, dan mengqiyaskan keadaan mereka sebelum dan setelah melakukan hijrah dari Mekkah ke Madinah,
“Tidak sama orang-orang di kalangan kamu yang berinfaq dan berperang sebelum daripada hijrah (dengan mereka yang berinfaq dan berperang setelah hijrah),  mereka yang melakukannya sebelum hijrah itu lebih tinggi darjat pahalanya daripada yang bersedeqah dan berperang setelah itu.”
Pahala dan ganjaran orang-orang yang beriman dan tega menempuh gurat-gurat penderitaan, sabar dan terus berjuang menegakkan syiar dan syariat Islam sewaktu di Makkah itu lebih besar daripada pahala mereka-mereka yang berusaha berjuang ketika di Madinah.
Antara hikmah Tuhan menyebutkan nada perbandingan ini adalah supaya para sahabat berkorban dalam harta mereka jauh lebih banyak daripada apa yang telah dilakukan sewaktu sebelum daripada hijrah di Makkah, kerana ganjaran mengifaqqan harta setelah hijrah itu lebih sedikit.
Tuhan juga menambahkan beberapa realitas yang menyentap jiwa raga selain daripada itu.
“Sesiapa yang sudi meminjamkan kepada Allah dengan pinjaman yang baik (Qardhulhasan), nescaya Allah akan menggandakan ganjaran baginya, dan baginya balasan yang mulia (syurga).”
Bukankah kita telah disedarkan bahawa seisi dunia ini adalah kepunyaan mutlak Tuhan di awal surah ini? Terus apakah hak kita untuk mencabar hak pemilikan Tuhan dengan memberi ‘pinjaman’ daripada harta-harta yang kita miliki ke jalan Allah?
Kesimpulannya, agenda peringatan-peringatan dan muhasabah bukan hanya sekadar meluruhkan air mata dan membisu kaku, ia mestilah disulam dengan benang-benang suruhan Tuhan berupa iman dan taqwa yang sebenar-benarnya.
Ayat ke 16 surah ini adalah perintah langsung untuk ‘menyentap’ kan diri sendiri setelah beberapa pengajaran dan hakikat diselitkan sebagai ‘alat’ bagi memperoleh sebuah introspeksi diri yang berkesan.
Mulai dengan pengimarahan kekontangan ilmu, gigih memperbaiki lompong-lompong kesalahan setiap detik waktu dan berdoalah meminta petunjuk dan hidayah Tuhan.
Wallahualam.








Assalamualaikum wa rahmatullah.

Bersempena hari keputeraan Nabi Muhammad s.a.w. pada 12 Rabiul Awal 1437 Hijrah, BADIB AL-KHAIRIAH mengucapkan salam Maulidur Rasul kepada seluruh umat Islam khususnya buat semua warga AL-KHAIRIAH ini.
Tanggal 12 Rabiul Awal merupakan hari bersejarah yang besar buat umat Islam di seluruh dunia, pada hari itulah Nabi Muhammad SAW dilahirkan ke dunia bagi membawa rahmat buat seluruh alam. Seorang insan dan Rasul yang digelar Al Amin kerana kejujurannya dan baginda merupakan khotamun nabiyin yang bererti penutup para rasul.
Akhlaknya yang terpuji menjadi ikutan dan diterima oleh semua umat manusia tanpa mengira bangsa dan agama. Hadirnya Rasulullah bagaikan mentari yang sentiasa menyinari alam serta menebarkan kasih buat umat manusia.
Ayuh sahabat2 semua! Kita hidupkan hari-hari kita dengan berselawat ke atas Baginda s.a.w. tanda cinta kita kepadanya.

“Sesungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Hai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya.” [Surah Al-Ahzab:56]

#SalamMaulidurRasul
#BADIB

Know us

BADAN DAKWAH DAN IBADAH (BADIB) SMA AL-KHAIRIAH,TEMERLOH PAHANG

Our Team

Contact us

Nama

E-mel *

Mesej *