Badan Dakwah dan Ibadah (BADIB)
SMA Al-Khairiah, Temerloh

~TANDA-TANDA CINTA KEPADA NABI S.A.W~

Cinta itu memang sangat mudah kalau untuk diucapkan dibibir sahaja. Kerana percaya kepada cinta dibibir itulah ramai manusia terutama muda-mudi menjadi korban cinta. Mereka telah tertipu oleh cinta yang hanya berlegar dimulut sahaja, tanpa meresap ke dalam hati.

Mencintai Rasulullah s.a.w tidak cukup hanya dengan mengatakan “Aku cinta Rasulullah” atau aku cinta kepadamu seperti layaknya sepasang muda-mudi yang bercinta. Allah akan menilai cinta kepada kekasih-Nya itu melalui pancaran hatinya yang ikhlas disertai dengan tindakan dan ucapan.

Di antara tanda-tanda cinta kepada Rasulullah s.a.w itu seperti yang disebutkan oleh Qadhi Iyadh, iaitu membela Sunnahnya, berpegang teguh pada syariatnya, berazam untuk mengikut cara kehidupan Nabi, lalu mengorbankan jiwa dan hartanya demi kepentingan Nabi. Serta bercita-cita seandaninya dia hidup bersama baginda, rela mengorbankan jiwa dan hartanya demi kepentingan Nabi s.a.w.

Al-Hafiz Ibnu Hajar mengatakan bahawa di antara tanda cinta kepada Nabi ialah sekiranya seseorang itu diberi pilihan antara kehilangan barangnya atau peluang melihat Nabi s.a.w sekiranya mungkin. Jika dia memilah lebih baik diberi peluang melihat Nabi, dia dikatakan belum mencintai Nabi.

Perumpamaan ini seandainya seseorang itu hidup sezaman dengan Nabi s.aw. Sedangkan sekarang ialah dengan bermujahadah memperjuangkan sunnah baginda, menghidupkan amalan-amalan baginda sama ada yang wajib atau yang sunat.

Bila dihamba pesona cinta yang buta, tidak mengenal sifat cinta sebenarnya. Cinta suci, bukan untuk dinodai, kasih jangan dikhianat. Ikhlaskanlah hati. Peliharalah kesucian cinta yang sejati. Peliharalah.

Warga kota dikejutkan dengan “tsunami” dahsyat menyelubungi Kuala Lumpur, Ahad lalu pada sebelah malamnya (10hb. Jun 2007) sehari selepas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi diijabkabulkan dengan Jeanne Abdullah.

Hujan yang mencurah turun, tidak disangka menjadi bala Tuhan yang menggodam ibu negara. Segala kecanggihan terkini, tiada nilainya lagi. DBKL dan aneka perancangan bandarnya, tidak upaya membungkus bala Tuhan yang datang mendadak itu. Semuanya akur, menerima takdir illahi.

Jalan utama menjadi kaku. Air melimpah ruah lebih dari satu meter. Tiada lagi jalan bertar kelihatan di Jalan Masjid India dan Jalan Ipoh. Kampung Baru, Keramat, Kampung Chubadak dan Sentul tenggelam teruk.

Paling dahsyat, air banjir turut menjenguk sehingga ke ruang sembahyang Masjid Jamek, Jalan Raja yang terletak betul-betul dipertembungan dua sungai iaitu Sg. Gombak dan Sg. Klang. Masjid klasik itu terletak kira-kira 10 meter dari paras normal kedua-dua sungai berkenaan.

Dataran Merdeka turut berselimut air separas pinggang (seperti bendang luas yang melaut di Yan, Kedah) hingga memburukkan pandangan Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad. Tidak diketahui, bagaimana nasib peniaga dan barangan dagangan mereka yang menjalankan bisnes di bawah perut Dataran Merdeka itu.

Pernah sekali dulu, air menerjah masuk ke pusat perniagaan di bawah perut Dataran Merdeka itu. Akibat dari banjir kilat juga. Tetapi tidak seteruk Ahad lalu. Namun, kerugiannya mampu untuk melingkupkan peniaga Bumiputera dan menambahkan penganggur.

Di Kuala Lumpur, ketakutan dan kekalutan yang amat sangat bila hujan turun ialah kesesakan lalu lintas. Jika kereta tiada penghawa dingin, sudah tentu penghuninya pitam dan pengsan. Namun, kesesakan kali ini, amat menakutkan. Berjam-jam lamanya!

Entah berapa lama kenderaan terkandas di jalan raya, tidak diketahui dengan tepat. Hujan lebat bermula sebelum jam 6 petang dan berlarutan hingga jam 9 malam, telah melumpuhkan ibu kota. Kenderaan dimasuki air dan penghuninya diselamatkan oleh Jabatan Pertahanan Awam (JPA3).

Kali ini, banjir benar-benar menggodam ibu kota walaupun tidak seteruk banjir 1971. Ketika itu, beberapa kampong di Selangor dan Kuala Lumpur dibungkusi banjir termasuklah Kg.Haji Abdullah Hukum, Kg. Baru, Semenyih, Kg. Arang Batu dan penempatan Orang-Orang Asli Changkat Bintang di Hulu Selangor.

Ibu kota ketika itu terputus hubungan terus dengan dunia luar dan pasaran saham terpaksa dihentikan kerana seluruh Kuala Lumpur digodam banjir dahsyat.

Tetapi, banjir Ahad lalu dilaporkan paling teruk melanda Jalan Masjid India, Jalan Ipoh dan Kampung Baru. Bot-bot penyelamat juga gagal mengesan dan menyelamat mangsa kerana terperangkap teruk dicelah-celah hutan batu dan kesesakan trafik.

Seperti tsunami menggodam Acheh, kerajaan tetap dipersalahkan kerana gagal memberi isyarat awal. Dalam isu ini, apakah peranan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan DBKL? Mereka gagal memberi amaran awal kepada para penduduk bagi menghadapi banjir ini.

Kenaikan air di Sg. Gombak, Sg. Batu dan Sg. Kerayong telah diketahui lebih cepat tetapi tiada amaran dikeluarkan oleh mereka termasuklah Jabatan Bomba sehingga beberapa kawasan sudah terhantuk baru terngadah, ditenggelami air.

Menurut rekod, sudah tiga kali banjir menggodam ibu kota pada tahap yang sama. Projek Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART) masih gagal berfungsi sekalipun Menteri Kerja Raya, Samy Vellu telah mengumumkan (menipu) SMART siap sepenuhnya. Walhal, kolam tadahan air di Kg. Brembang dan Taman Desa, belum siap dan SMART hanya boleh digunakan Julai ini.

Tiba-tiba, bagi membungkus pekung di dada, Samy mengumumkan kadar tol RM2.00 untuk pengguna SMART keesokan harinya (11hb. Jun 2007). Langkah ini disifatkan sebagai kurang ajar. Tidak peka dan menyakitkan hati.

Rakyat rasanya mula tidak yakin dengan JKR dan Samy. Banyak projek yang retak, runtuh dan sengit. Semuanya telah diluluskan dan mengikut piawaian. Apakah SMART selamat digunakan? Khuatir juga, takut-takut pengguna tenggelam dalam terowong yang belum siap sepenuhnya itu.

Kebiadapan Samy Vellu ini sebenarnya simbol keangkuhan BN di Malaysia. Belum reda lumpur dibersihkan, trauma kesesakan masih muda; Samy sudah memberi “hadiah” kepada warga kota yang terperangkap Ahad lalu dengan dikenakan tol RM2 bagi penggunaan SMART.

Sama ada benar atau tidak keupayaan SMART boleh mengurangkan kesesakan trafik dan membuang air banjir kilat di ibu kota, belum teruji. Secara teorinya, inilah satu lagi mercu tanda penemuan terhebat negara dalam menyelesaikan dua masalah tersebut.

Namun, bala Tuhan yang menggodam ibu kota Ahad lalu tetap membuktikan betapa hebatnya Allah SWT dan lemahnya manusia dalam pembikinan teknologi dan cara berfikir mereka.

Rupa-rupanya, bangunan Menara KLCC yang tertinggi mencakar langit, Menara Kuala Lumpur yang angkuh berdiri, Terowong SMART yang tercari-cari arah; membungkus seribu kelemahan dan ketololan manusia berdepan dengan “kekuatan” air yang menjadi sebahagian tentera ciptaan Allah.

Bagi orang yang beriman, lihatlah banjir itu sebagai bala dari Allah atas kemaksiatan yang dilakukan oleh manusia di muka bumi ini!

Selain seorang nabi, Sulaiman a.s. juga seorang raja terkenal. Atas izin Allah ia berhasil menundukkan Ratu Balqis dengan jin ifrit-Nya. Dia dikenal sebagai manusia boleh berdialog dengan segala binatang. Dikisahkan, Nabi Sulaiman sedang berkelana antara langit dan bumi hingga tiba di satu samudera yang bergelombang besar. Untuk mencegah gelombang, ia cukup memerintahkan angin agar tenang, dan tenang pula samudera itu.Kemudian Nabi Sulaiman memerintahkan jin Ifrit menyelam ke samudera itu sampai ke dasarnya. Di sana jin Ifrit melihat sebuah kubah dari permata putih yang tanpa lubang, kubah itu diangkatnya ke atas samudera dan ditunjukkannya kepada Nabi Sulaiman.
Melihat kubah tanpa lubang penuh permata dari dasar laut itu Nabi Sulaiman menjadi terlalu hairan, "Kubah apakah gerangan ini?" fikirnya. Dengan minta pertolongan Allah, Nabi Sulaiman membuka tutup kubah. Betapa terkejutnya dia begitu melihat seorang pemuda tinggal di dalamnya."Sipakah engkau ini? Kelompok jin atau manusia?" tanya Nabi Sulaiman kehairanan."Aku adalah manusia", jawab pemuda itu perlahan."Bagaimana engkau boleh memperolehi karomah semacam ini?" tanya Nabi Sulaiman lagi. Kemudian pemuda itu menceritakan riwayatnya sampai kemudian memperolehi karomah dari Allah boleh tinggal di dalam kubah dan berada di dasar lautan.
Diceritakan, ibunya dulu sudah tua dan tidak berdaya sehingga dialah yang memapah dan menggendongnya ke mana jua dia pergi. Si anak selalu berbakti kepada orang tuanya, dan ibunya selalu mendoakan anaknya. Salah satu doanya itu, ibunya selalu mendoakan supaya anaknya diberi rezeki dan perasaan puas hati. Semoga anaknya ditempatkan di suatu tempat yang tidak di dunia dan tidak pula di langit."Setelah ibuku wafat aku berkeliling di tepi pantai. Dalam perjalanan aku melihat sebuah kubah diperbuat daripada permata. Aku mendekatinya dan terbukalah pintu kubah itu sehingga aku masuk ke dalamnya." Tutur pemuda itu kepada Nabi Sulaiman.
Nabi Sulaiman yang dikenali boleh berjalan di antara bumi dan langit itu menjadi kagum terhadap pemuda itu."Bagaimana engkau boleh hidup di dalam kubah di dasar lautan itu?" tanya Nabi Sulaiman ingin mengetahui lebih lanjut."Di dalam kubah itu sendiri, aku tidak tahu di mana berada. Di langitkah atau di udara, tetapi Allah tetap memberi rezeki kepadaku ketika aku tinggal di dalam kubah.""Bagaimana Allah memberi makan kepadamu?""Jika aku merasa lapar, Allah menciptakan pohon di dalam kubah, dan buahnya yang aku makan. Jika aku merasa haus maka keluarlah air yang teramat bersih, lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu."
"Bagaimana engkau mengetahui perbedaan siang dan malam?" tanya Nabi Sulaiman a.s yang merasa semakin hairan."Bila telah terbit fajar, maka kubah itu menjadi putih, dari situ aku mengetahui kalau hari itu sudah siang. Bila matahari terbenam kubah akan menjadi gelap dan aku mengetahui hari sudah malam." Tuturnya. Selesai menceritakan kisahnya, pemuda itu lalu berdoa kepada Allah, maka pintu kubah itu tertutup kembali, dan pemuda itu tetap tinggal di dalamnya. Itulah keromah bagi seorang pemuda yang berbakti kepada kedua orang tuanya.
...........Nantikan kemunculan kisah teladan yang berikutnya.........

Know us

BADAN DAKWAH DAN IBADAH (BADIB) SMA AL-KHAIRIAH,TEMERLOH PAHANG

Our Team

Contact us

Nama

E-mel *

Mesej *