Badan Dakwah dan Ibadah (BADIB)
SMA Al-Khairiah, Temerloh

PERGINYA SEBUAH PERMATA



Kami daripada Badan Dakwah Dan Ibadah (BADIB) mengucapkan ucapan takziah atas pemergian murabbi ummah, Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din, ke rahmatullah pagi ini di Hospital Stanford University, Amerika Syarikat.
Almarhum yang juga merupakan Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah lahir pada 18 Ogos 1940 dan meninggal dunia di usia 76 tahun.
Almarhum yang berasal dari Perlis dan mempunyai 10 orang adik-beradik itu dibesarkan dalam keluarga yang teguh beramal dengan ajaran Islam.
Ibu bapa beliau merupakan guru agama; malah bapa beliau yang lebih dikenali sebagai Lebai Din juga merupakan pengamal pengubatan Islam.
Selepas menamatkan pengajian di beberapa institusi pendidikan agama terkemuka di tanah air, beliau melanjutkan pelajaran ke Mesir hingga mendapat Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Syariah dari Universiti Darul Ulum, Kaherah.
Selain menjadi ‘pelita’ buat gerakan Islam PAS dan bertanding dalam beberapa pilihanraya umum, Almarhum Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din pernah menjadi pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia serta mendapat pangkat ‘Profesor’ dari universiti itu.
Beliau juga pernah menjadi penasihat Syariah di pelbagai entiti, antaranya ahli Majlis Penasihat Syariah CIMB dan ahli Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia; selain menjadi ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor dan ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis.
Semoga Allah mencucuri rahmat buat beliau, menempatkan rohnya bersama para solihin dan syuhadak, serta mengurniakan kesabaran dan kekuatan buat keluarga dan mereka yang mengasihinya dalam menghadapi ujian kehilangan ini. Al-Fatihah.


(Foto dan Info: Kesatuan Ulama Islam Sedunia)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Know us

BADAN DAKWAH DAN IBADAH (BADIB) SMA AL-KHAIRIAH,TEMERLOH PAHANG

Our Team

Contact us

Nama

E-mel *

Mesej *