Ramadhan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah memberi kita nikmat Iman dan Islam, sebesar-besar nikmat yang telah menjadikan kita hamba yang mulia. Saidina Umar berkata :
Kita adalah kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam, maka barangsiapa yang mencari kemuliaan selain daripada apa yang Allah muliakan , maka akan mendapat penghinaan daripada Allah.
Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad, ahli keluarga dan para sahabat radiyallahu a’nhum.
Ramadhan datang lagi lagi tahun ini, masa yang berlalu bukanlah satu angka yang boleh dibangga-banggkan, bahkan angka-angka, masa-masa, saat-saat yang telah berlalu menunjukkan bahawa umur usia kita semakin pendek, yakni semakin dekat diri kita dengan kematian.
Ramadhan merupakan bulan istimewa yang telah dianugerahkan kepada umat Rasulullah S.A.W. Ramadhan merupakan bulan yang telah diwajibkan berpuasa.
Firman Allah S.W.T
“Karena itu, barangsiapa antara kamu ada di bulan itu, maka berpuasalah …”Surah al-Baqarah, ayat 185
Ramadhan bulan Tarbiyyah
Umum mengetahui bahawa Ramadhan adalah bulan untuk berpuasa, dan umum juga berpendapat bahawa puasa hanyalah mengenai menahan diri daripada makan dan minum, sedangkan Ramadhan membawa nilai dan maksud yang lebih luas dan dalam. Ramadhan merupakan bulan tarbiyah yang boleh mendidik jiwa dan melatih nafsu agar tunduk kepada kehendak iman.
Ramadhan tanpa Aidul Fitri?
Di Malaysia khususnya, adakah wujud Ramadhan jika tiada hari raya? Persoalan ini timbul kerana masyarakat kita sudah menyambut raya sebelum Ramadhan bermula lagi. Berbagai-bagai promosi dan iklan-iklan yang sibuk mengatakan tentang hari raya seolah-olah Ramadhann ini hanyalah satu waktu yang ‘terpaksa’ dilalui oleh umat Islam untuk sampai ke Ramadhan. Sewajarnya, makna Ramadhan ini perlu dihayati semula, dan makna hari raya juga perlu difikirkan semula, yang mana satu matlamat kita? Adakah berjaya berjumpa dengan 1 Syawal itu matlamat kita ataupun mendapat keredaan Allah itu yang menjadi tujuan utama Ramadhan?
Ramadan dan angka-angkanya
Ramadhan terkenal dengan angka-angka kerana pada bulan ini setiap waktu, hari dan tarikh amat diambil kira. Pada bulan ini, kebanyakan umat Islam akan mula mengetahui tarikh-tarikh hijri, sedangkan pada bulan-bulan lain, kita hanya mengutamakan tarikh-tarikh masihi. Ramadhan juga terkenal dengan 3 fasa, fasa 1 iaitu 10 malam pertama, fasa 2, iaitu 10 malam kedua dan fasa 3 iaitu 10 malam terakhir. Setiap fasa-fasa ini juga terkenal dengan angka-angka mereka sendiri. Dalam fasa 1, kita dapat melihat banyaknya jumlah sof yang memenuhi masjid-masjid, namun jumlah ini berkurang dan semakin berkurang dalam fasa 2 sehinggalah ke fasa 3.
Ramadhan dan Lailatul Qadar.
Inilah bulan yang sangat istimewa kerana di dalamnya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Allah S.W.T berfirman :
“Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.” Surah al-Qadr, ayat 3.
Ramadhan dan bakul-bakul sampah
Ramadhan di Malaysia khususnya terkenal dengan bazar-bazar yang dibukan setiap hari. Di sini dijual bermacam-macam rupa makanan yang beraneka rasa dan harga. Bazar-bazar ini, yang menjadi sumber rezeki para peniaga. Bazar-bazar ini juga tempat umat Islam berbelanja besar sehingga kita lupa maksud asal kita berpuasa iaitu menahan hawa nafus. Dari gerai ke gerai yang lain, habis semua makanan dibeli dan kesudahnnya hanya sedikit yang dimakan ketika iftar, sedangkan yang lain hanyalah hiasan indah di bakul-bakul sampah. Maka berbahagilah bakul-bakul sampah yang mendapat hidangan mewah daripada golongan orang-orang yang menjadi sahabat-sahabat syaitan yang rugi.
Ramadhan dan kita
Bagaimana pula halnya kita sebagai umat Islam yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Adakah kita benar-benar menanggap Ramadhan sesuatu yang istimewa kepada diri kita atau Ramadhan hanyalah bulan biasa yang cuma diwajibkan didalamnya berpuasa. Imam al-Ghazali dalam kitabnya Bidayatul Hidayah ada menggariskan adab-adab puasa yang mana jika kita benar-benar menitikberatkan Ramadhan, maka sudah pastilah akan menitikberatkan juga adab-adabnya seperti menjaga mulut, perut dan kemaluan.
Sabda Rasulullah S.A.W:Lima perkara yang membatalkan (pahala) puasa iaitu berhubung, mengumpat, membuat fitnah, melihat (perempuan yang bukan mahram), dengan syahwat dan sumpah palsu.Hadis riwayatad-Dilmi dalam Musnad al-Firdaus
Sabda Rasulullah S.A.W lagi:Hanyasanya puasa itu perisai, maka apabila seserang kamu berpuasa maka jangan ia bercakap-cakap yang tidak baik (seperti bercakap perkara yang lucah) dan janganlah ia membuat maksiat dan jangan bertindak seperti orang jahil. Oleh kerana itu, apabila ada orang lain cuba memusuhinya atau memakinya maka hendaklah ia berkata (di dalam hatinya, kalau dia berpuasa sunat. Di hati dan di mulut jika berpuasa wajib) “Bahawasanya aku ini berpuasa.”Hadis riwayat Imam Bukhori
Kesimpulan
Ramadhan benar-benar satu bulan yang mempunyai keistimewaan yang sangat banyak. Para sahabat Rasulullah S.A.W sangat bergembira dengan kehadiran Ramadhan dan sangat bersedih semasa Ramadhan sampai ke penghujungnya. Maka, rebutlah segala peluang yang ada dan beramallah dengan sebanyak-banyaknya kerana pada bulan ini juga pahala amalan kita digandakan sehingga ke 700 kali ganda!!!. Ayuh para sahabat-sahabat, saudara-saudari, pak cik dan mak cik, ayuh semua kita jadikan bulan Ramadhan sebagai bulan ‘pesta’ ibadah kita agar kita terpilih untuk menjadi tetamu Lailatul Qadar dan terpilih untuk masuk ke syurga melalui pintu ‘ar-Rayyan’ iaitu pintu yang hanya dimasuki oleh orang-orang yang berpuasa sahaja. Wallahu a’lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan