Badan Dakwah dan Ibadah (BADIB)
SMA Al-Khairiah, Temerloh
Memaparkan catatan dengan label Tazkirah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tazkirah. Papar semua catatan


Bismillah

Assalamualaikum Wa Rahmatullah

AMALAN YANG DIBAWA SELEPAS MATI


Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Apabila seorang manusia mati, putuslah (tulisan pahala) amalan (setakat itu) Kecuali tiga perkara (yang akan berlanjutan tulisan pahalanya) iaitu sedekah jariah atau ilmu memberi kepada yang faedah orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya."


(Hadith Sahih - Riwayat Imam Ahmad)



Pertama "Sedekah jariah" ialah harta benda yang diwaqafkan kerana Allah Taala, seperti:



(1) Mewaqafkan sebuah kebun bersama hasil tanamannya untuk kebajikan umum. Atau mewaqafkan sebidang tanah untuk menjadi tapak masjid, surau, rumah anak yatim, madrasah, sekolah dan sebagainya.



(2) Mendirikan - atau berkhairat ala kadarnya untuk mendirikan masjid surau, rumah anak yatim, madrasah, sekolah dan sebagainya.



(3) Mendirikan rumah waqaf untuk kaum kerabat sahaja atau umum untuk orang-orang miskin yang memerlukan tempat berteduh atau untuk disewakan dan hasilnya dikhairatkan untuk kebajikan umum.



(4) Mendirikan rumah "musafir khanah" untuk persinggahan orang-orang musafir yang memerlukannya.



(5) Dan lain-lain lagi yang termasuk dalam amalan yang diredhai Allah seperti mendirikan hospital dan kutub khanah, mencetak al-Qur'an dan kitab-kitab Islam serta buka-buka pengetahuan yang berguna dan sebagainya.



Amalan "waqaf" dalam Islam ini telah bermula semenjak zaman Rasulullah s.a.w.(3) dan telah berkembang di negara-negara Islam hingga hari ini dan seterusnya, malah ada yang datang membentuk "Kementerian Waqaf di negara masing-masing.



Selagi harta benda yang diwaqafkan itu masih wujud dan dinikmati faedahnya olah umum maka tuan punya harta itu akan mendapat pahalanya berterusan semasa ia hidup dan sesudah ia mati.



Kedua: "Ilmu yang berguna atau bermanfaat kepada orang lain,"

yang tersebut dalam hadith ini ialah ilmu yang berhubung dengan agama Islam secara khusus dan juga yang berhubung dengan kemajuan di dunia secara umum, sama ada melalui syarahannya kepada murid-muridnya dan orang ramai, atau melalui kitab-kitab dan buku-buku karangannya.



Selagi ilmu yang diajarkannya atau kitab-kitab dan buku-buku karangannya masih wujud dan dinikmati faedahnya oleh umum maka ia akan mendapat pahalanya berterusan semasa ia hidup dan sesudah ia mati.



Ketiga: "Anaknya yang soleh yang berdoa untuknya"



Doa anak kepada kedua ibu bapanya, sama ada anak itu orang yang soleh atau sebaliknya adalah baik dan berguna. Tetapi doa anak yang soleh lebih diharap tentang makbulnya.



Sebab itulah Rasulullah s.a.w. menarik perhatian tentang kelebihan anak yang soleh dalam hadithnya ini, supaya ibu bapa mendidik anak-anak masing-masing dengan sebaik-baiknya sehingga anak itu menjadi orang yang berjaya di dunia dan berjaya di akhirat.



Serentak dengan itu kedua ibu bapa akan mendapat rahmat disebabkan usahanya mendidik anak-anaknya dengan sebaik-baiknya dan mendapat rahmat pula disebabkan doa anaknya yang soleh itu.

Wallahu A'lam. 


DI AKHIR RAMADHAN : AMBIL SATU BUANG SATU.

subuh tadi, tazkirah saya di akhir ramadhan.

Sahabat yang dicintai.. kalau kita bermusafir, kata pujangga: "Bawalah pulang cenderahati walau seketul batu". Begitulah sepatutnya kita.. apabila melangkah keluar dari ramadhan, bawalah setidak-tidaknya satu amalan yang telah kita laksanakan di dalamnya.
Ambil dan kekalkanlah mana-mana satu dari amalan yang kita rasa dapat kekalkannya sejak memasuki syawal hinggalah bertemu ramadhan akan datang. Entah itu solat dua rakaat dhuha, zikir-zikir ringkas, sedeqah seringgit sehari, solat witir setiap malam, bacaan al Quran sehari sehelai.. atau apa-apa saja buah tangan ramadhan yang amat banyak itu.
Jangan sampai langsung satu pun tak ada, umpama daun pokok yang luruh kesemuanya. Amatlah malang kalau ramadhan tak mengubah apa-apa pun pada diri kita, selain jadual makan. Manakala nafsu syahwat masih tetap mengagahi, taqwa kita pula yang digagahi.
Kita kena akur akan hakikat bahawa kita sebenarnya masih tetap tewas kepada hawa nafsu sekalipun tidak dibantu syaitan. Bagaimana akan menang pasukan taqwa kalau hanya pemain handalan bernama puasa saja satu-satunya yang diturunkan, manakala yang lain dibangku simpanankan. Sebaliknya pasukan nafsu hanya kehilangan penyerang licik iblis.. sedangkan kesebelasan handalan lain tetap diturunkan.
Manakala mata, perut, mulut dan anggota lain tidak dikawal, qiamullail tidak diturunkan, lailatul qadr tidak dimasukkan.. bagaimana kita akan menang?. Sungguhpun secara keseluruhannya kita tak menang,.. tapi takkanlah cenderahati sebagai hadiah saguhati pun tak boleh dibawa pulang?. Murah pun tak apa asal ada. Biarlah sedikit amalan yang dibawa pulang dari ramadhan, tetapi berterusan.
Bila kita dah ambil sesuatu, buang dan tinggalkan pula sekurang-kurangnya satu sifat mazmumah yang telah kita lazimi sepanjang ramadhan. Entah itu sifat pemarah, mengumpat, bercakap kosong, kedekut atau apa-apa jua salah satu dari keharaman yang mesti kita tinggalkan. Kita pasangkan azam tidak akan kembali kepada keharaman tersebut. Letaklah target sederhana.. setidak-tidaknya hingga ramadhan tahun depan.
Inilah yang saya maksudkan dengan ambil satu dan buang satu di atas tadi. Bayangkan.. kalau setiap orang melaksanakan konsep ramadhan yang sesederhana ini, alangkah amannya dunia tempat kita hidup ini. Sayangnya.. perubahan ini terlalu lambat. Di lambatkan oleh manusia-manusia yang tak punca cita dan pengharapan apa pun dari ramadhan.
Realiti yang terjadi...untuk satu-satu perubahan saja.. umat ini memerlukan puluhan tahun, sedangkan kita ada terlalu banyak sifat mazmumah yang nak ditinggalkan. Kita ada puluhan amal taat yang mesti diupgrade sama ada dari kualiti maupun kuantitinya. Kita perlukan banyak peringatan untuk mengikis kedegilan ini.
Kita kebosanan dengan tazkirah, .. ada yang menolak terus masjid dan surau mereka dari tazkirah, ada yang mengadu kejemuan kalau melebihi 20 minit atau jemu kerana point yang sama diulang-ulang. Saya katakan.. kita nak pengisian baru, sedangkan yang sudah lama ditazkirahkan masih liat nak diamalkan!. Hati kita terlalu liat hendak ditundukkan kerana mazmumah masih menjadi raja di sana.
Oleh kerana banyak dan kroniknya penyakit kita.. layaklah dihadapkan tazkirah yang sedikit lama. Kalau kita ini umpama pelajar sekolah dulu; tak lulus tak naik kelas.. maka itulah kita sekarang ini. Kita tertahan puluhan tahun di kelas yang sama untuk satu satu mata pelajaran. Maka layaklah kita ini hanya mengafal sifir ramadhan; ambil satu buang satu. Jauh sangatlah nak menjangkau formula ramadhan khawas apatah lagi khawasul khawas!.
-------------
Semoga bertemu ramadhan akan datang, mohon maaf andai tazkirah saya menyinggung perasaan atau kurang berkesan kerana tak cukup nilai ilmiahnya atau tak berjejak di bumi nyata.


إن أريد إلاصلاح ما استطعت ، وما توفيقي إلا بالله.


Nukilan : Ustaz Abdul Karim (Kulliah Al-Lughah Waddin, Pekan)


#MariSelawat
#BADIBKitaKitaBADIB



Assalamualaikum Wa Rahmatullah

Apakah itu Muwasafat Tarbiyah?

Muwasafat Tarbiyah adalah kriteria yang perlu ditanamkan dalam diri untuk menjana keperibadian Muslim yang syumul.


1) Aqidah Sejahtera (Salim-ul Aqidah)
-Tidak menjampi kecuali dengan al-Quran yang ma’thur
-Tidak berhubung dengan Jin
-Tidak meminta bantuan dari orang yang meminta bantuan jin
-Tidak menenung nasib
-Tidak mendekati tukang tilik
-Tidak mengusap kubur
-Tidak meminta bantuan dari simati
-Tidak bersumpah dengan selain Allah
-Tidak mempercayai adanya sial
-Mengikhlaskan amal kerana Allah

2) Ibadah Yang Sahih (Shahih-ul 'Ibadah)
-Tidak menolak untuk melaungkan azan
-Bersuci dengan sempurna
-Sangat menghargai solat berjemaah
-Sangat suka berjemaah di masjid-
-Memperbaiki mutu solat
-Qiamullail seminggu sekali
-Menunaikan zakat
-Berpuasa wajib
-Berpuasa sunat sehari setiap bulan
-Ada niat untuk menunaikan haji


3) Akhlak Yang Mantap (Matin-ul Khuluq)
-Tidak takabbur
-Mempunyai pendirian
-Tidak menipu
-Tidak mencaci
-Tidak mengadu domba
-Tidak mengumpat
-Tidak berdusta
-Tidak mengejek
-Tidak memperlekehkan sesuatu kumpulan
-Tidak berkawan dengan orang yang berkelakuan buruk
-Mengasihi orang yang lebih muda
-Menghormati orang yang lebih tua
-Menunaikan janji
-Menundukkan pandangan
-Menjaga rahsia
-Menutup dosa orang lain
-Cemburu terhadap isteri
-Mempunyai perasaan cemburu atas agamanya


4) Mampu Berdikari (Qadirun 'Ala-l Kasbi)
-Menjauhi pekerjaaan yang haram
-Menjauhi riba
-Menjauhi judi
-Menjauhi penipuan
-Menunaikan zakat
-Membuat simpanan walaupun sedikit
-Tidak menangguh-nangguhkan tugasan yang diamanahkan
-Memelihara harta awam
-Memelihara harta peribadi


5) Berpengetahuan luas (Mutsaqqaf-ul Fikri)
-Mampu membaca dan menulis dengan baik
-Membaca tafsir 1 juzuk dari al-Quran
-Memelihara hukum-hukum tilawah
-Menghafaz setengah dari hadith 40
-Menghafaz 20 hadith dari Riyadhusshalihin
-Mengkaji marhalah Makkah dan menguasai ciri-cirinya yang penting
-Mengenali sepuluh orang yang dijanjikan Syurga
-Mengetahui hukum-hukum taharah/bersuci
-Mengetahui hukum-hukum solat
-Mengetahui hukum-hukum puasa
-Membaca sesuatu di luar bidangnya. 4 jam seminggu
-Memahirkan diri dengan wasilah-wasilah moden
-Sentiasa peka akan serangan Zionis terhadap Islam
-Mengetahui pertubuhan-pertubuhan yg menyeleweng


6) Tubuh Yang Cergas (Qawwiy-ul Jism)
-Bersih tubuh badan
-Bersih pakaian
-Tempat tinggal yang bersih
-Beriltizam dgn sunnah (adab) makan dan minum
-Tidak berjaga malam berlebihan
-Iltizam dgn senaman 2 jam seminggu
-Bangun sebelum terbit fajar/subuh
-Mematuhi kaedah membaca dari aspek kesihatan
-Meninggalkan tabiat merokok
-Menjauhi tempat-tempat kotor
-Menjauhi tempat-tempat berpenyakit


7) Menguasai Diri (Mujahadat-ul Li Nafsi)
-Menjauhi perkara-perkara haram
-Menjauhi tempat-tempat lalai yang diharamkan
-Meninggalkan tempat-tempat maksiat


8)Teratur urusannya (Munazhzhamun Fi Syu'unihi)
-Penampilan yang elok
-Tidak mempunyai hubungan dengan pihak yang menentang Islam


9)Sangat Menghargai Masa (Harishun 'Ala Waqtihi)
-Bangun awal
-Menggunakan masa tertentu untuk belajar


10)Bermanfaat Kepada Orang Lain (Nafi'un Li Ghairihi)
-Menunaikan hak ibu bapa
-Menyertai majlis-majlis kegembiraan
-Membantu orang-orang yang memerlukan
-Membimbing orang yang sesat

Semoga Bermanfaat!




Assalamualaikum, 

Alhamdulillah, dapat lagi kita bertemu dalam entri pertama untuk bulan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan ini. Bulan apa? Ramadhan! Ramadhan terlalu banyak kelebihannya. Kali ini, kami akan berkongsi sedikit sebanyak kelebihan itu. Mari!



1. Ramadhan jalan menuju ketaqwaan

Allah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu puasa sebagaimana diwajibkan atas kaum sebelum kamu, agar kamu bertaqwa”.- 
(Al Baqarah: 183).

Ayat di atas menerangkan bahawa puasa adalah sebab yang boleh mengantarkan pelakunya menuju ketaqwaan, kerana puasa mampu meredam syahwat. Ini sesuai dengan salah satu penafsiran yang disebutkan Imam Al Qurthubi, yang berpadukan kepada hadits riwayat Imam Ahmad yang menyebutkan bahawa puasa adalah perisai.

2. Ramadhan bulan mujahadah

Para ulama’ salaf adalah suri tauladan bagi umat, mujahadah mereka dalam mengisi bulan Ramadhan amat perlu dicontoh. Seperti Imam Asyafi’i, dalam bulan Ramadhan beliau menghatamkan Al-Quran dua kali dalam semalam, dan iti dikerjakan di dalam solat, sehingga dalam bulan Ramadhan beliau menghatamkan Al-Quran enam puluh kali dalam sebulan. Imam Abu Hanifah juga menghatamkan Al-Quran dua kali dalam sehari selama Ramadhan.

3. Puasa Ramadhan menumbuhkan sifat amanah

Wahbah Zuhaili dalam bukunya Al Fiqh Al Islami berpendapat bahawa puasa mengajarkan rasa amanat dan muraqabah di hadapan Allah Ta’ala, baik dengan amalan yang nampak mahupun yang tersembunyi. Maka tidak ada yang mengawasi seseorang yang berpuasa agar menghindari hal-hal yang dilarang dalam berpuasa kecuali Allah Ta’ala

4. Puasa Ramadhan melatih diri berdisiplin

Puasa juga melatih diri berdisiplin , Wahbah Zuhaili menjelaskan bahawa seorang yang berpuasa harus makan dan minum dalam waktu yang terbatas. Bahkan dalam berbuka puasa pun harus disegerakan.

5. Puasa Ramadhan menumbuhkan rasa solidaritas sesama muslim

Wahbah Zuhali juga menjelaskan bahawa puasa Ramadhan menumbuhkan rasa solidariti di antara sesama muslim. Pada bulan ini semua umat Islam, dari timur hingga barat diwajibkan untuk menjalankan puasa. Mereka berpuasa dan berbuka dalam waktu yang sama, kerana mereka memiliki tuhan yang satu.

Seorang yang merasa lapar dan dahaga akhirnya juga boleh turut merasakan kesengsaraan saudara-saudaranya yang kekurangan atau tertimpa bencana. Sehingga tumbuh perasaan kasih sayang terhadap umat Islam yang lain.

6. Puasa Ramadhan melatih kesabaran

Bulan Ramadhan adalah bulan puasa di mana pada siang hari kita diperintahkan meninggalkan makanan yang asalnya halal, terlebih lagi yang haram. Begitu pula di saat ada seseorang mengganggu kita. Rasulullah Saw. bersabda: “Bila seseorang menghina atau mencacinya, hendaknya ia berkata 'Sesungguhnya aku sedang puasa." (HR. Bukhari)

7. Puasa Ramadhan menyihatkan

Rasulullah bersabda: ”Berpuasalah, maka kamu akan sihat” (HR. Ibnu Sunni), ada yang menyatakan bahawa hadits ini dhoif, akan tetapi ada pula yang menyatakan bahawa darjat hadits ini sampai dengan tingkat hasan (lihat, Fiqh Al Islami wa Adilatuh, hal 1619).

Tapi makna hadist masih boleh diterima, kerana puasa memang menyihatkan. Al Harits bin Kaldah, tabib Arab yang pernah mengabdi kepada Rasulullah Saw. juga pernah menyatakan:”Perut adalah tempat tinggal penyakit dan sedikit makanan adalah ubatnya”.

Semoga perkongsian pada kali ini, dapat memberi manfaat kepada para pembaca. Selamat berpuasa semua! 

Assalamualaikum!


Rentak menulis yang kaku.
Ritmanya tak berlagu.

Aku lumpuh dalam ingatanku.
Aku gugur dalam pertempuranku.
Aku masih mencari aku.
Dalam detik payah.
Dalam kabut resah.
Aku mencari diri yang rebah lemah.
Terbaring lelah.

Aku ini, yang kau kata futur.

Mereka bertanya apa itu futur.
Seringan-ringan futur itu didefinisikan sebagai bermalas-malasan.
Seberat-berat futur pula bila langkah yang hangat kuayunkan kini terhenti di tengah jalan.
Putus asa dari rahmat tuhan.

Aku ini yang kau kata futur.


"Mana pengisian rohani?"
"Mana kata-kata kau yang memberi kesan pada hati?"
"Kenapa engkau begini?"
"Kenapa engkau begitu?"

Kritikan manusia dulu kuambil menjadi pedoman.
Namun kritikan menjadi hentaman.
Makin aku diam makin aku terasa aku menyimpan dendam,

Lakuku disalah erti.
Tatkala aku lemah malah aku dicaci.
Bila aku yang sering memberi nasihat memerlukan nasihat.
Yang cuma disebut "Aku tahu kau kuat."
Aku tahu itu cuma kata penyedap.
Kerana jika benar kau kenal aku.
Mana mungkin kau berani kata aku kuat.


"Kenapa kau berubah?"
"Legend mana boleh putus asa."
"Bangunlah dan langkah semula."

Sudah beratus malah beribu kata-kata sama aku terima.
Kadang aku cuma mahu bersendiri.
Mencari erti dalam kehidupan.
Hidup seperti teman-temanku yang pada mereka cuma ada hiburan dan kegembiraan.

Aku juga ada masa sendu.
Ada masa menyorok pilu.

Aku juga ada masa perlu dipapah.

Namun egoku membongkah.
Keras kepalaku menjadi parah.

Aku cuma ingin diterima tanpa aku perlu berpura-pura.
Aku cuma ingin dilihat bukan malaikat tapi manusia yang juga terkadang penat.


Lalu dahiku menyembah bumi.
Tuhan, aku perlukan sokongan.
Kerana manusia takkan pernah mengerti betapa lopongnya segumpal organ ini.
Organ yang bahasa melayunya dipanggil hati

Aku ini, yang kau kata futur.

Momentum terlontar begitu tinggi.
Namun tatkala ia jatuh kembali.
Ia terhempas kuat mencerai-beraikan semangat yang kusangka kukuh.

Pergilah pergi.
Tinggalkan aku mengisi hati.
_____

Tengah berkira-kira nak cari gambar sesuai selepas siap entri ni, dapat email dari seorang pembaca blog ni. Kiriman gambar yang sangat tepat pada waktu yang tepat.

Tuhan, kadang kau hantar manusia yang aku tak jangka. Untuk hiburkan luka dalam yang seolah-olah tak mungkin mampu disembuhkan.

P/S: C & P BUDAK TOMATO




::Bismillah::

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Umum mengetahui, setiap gerakan dakwah sama ada di peringkat sekolah mahupun universiti pasti akan terlibat dengan kerja berjamaah. Kerja berjamaah amat penting dalam sesebuah gerakan kerana dengan adanya kerja berjamaah ukhuwah dapat terbina dan proses kerja menjadi licin. Namun, mengharungi jalan dakwah secara berjamaah ini, pasti akan wujud satu halangan ataupun virus yang akan merosakkan jamaah itu, dan virus itu ialah "Mengikut Hawa Nafsu" ataupun dalam bahasa arabnya "Ittiba'ul Hawa". Apakah kesan kesan jika terlalu mengikut hawa nafsu dalam membuat kerja berjamaah? Mari kita lihat satu persatu. Adapun pengaruh mengikut hawa nafsu terhadap Jamaah sangat banyak, di antaranya :-


1. Hilangnya Semangat Menambah Kadar Dakwah

 Apabila sesebuah gerakan dibangunkan di atas dasar kebencian atau dalam barisannya terdapat orang yang dikenal mengikut hawa nafsunya. Hal ini akan menutup pintu bagi pengikut dan pendokong baru, kerana tidak ada tokoh teladan yang memikat orang untuk bergabung di jalan dakwah. Jangankan berkorban untuk membelanya dan berjuang untuk memajukannya, mendekati saja pun mereka tidak mahu. Maka akan menyebabkan semakin panjang dan beratnya perjalanan dakwah.


2. Memecah Kesatuan Barisan

Apabila Barisan Jamaah ini terdiri daripada orang-orang yang mengikut hawa nafsunya, pasti akan menghasilkan perpecahan dan kecacatan, akibat lemahnya prinsip ketaatan dalam diri mereka. Semasa perpecahan ini berlaku, maka gerakan dakwah ini akan menjadi santapan lazat bagi musuh.

Demi Allah, inilah yang selalu mereka usahakan hingga benar-benar terjadi di muka bumi ini. Pada saat itulah, mereka mampu memukul Jamaah ini ataupun paling tidak menggugurkannya, sehingga harus mundur ke belakang berpuluh-puluh tahun.


3. Tidak Mendapat Pertolongan Dan Dokongan Allah S.W.T

Sunnatullah yang berlaku pada makhluk-Nya adalah, Allah S.W.T tidak akan memberi pertolongan dan dokongan kepada mereka kecuali jika mereka berusaha mendapatkannya. Apabila mendapat keteguhan atau kekuasaanya mereka seperti yang difirmankan-Nya :

*****
''Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar''  
   
    [Al-Hajj : 44]

*****

Adalah dengan kemaksiatan yang dilakukan terhadap tuhan, Rasul dan pemimpin kaum Muslimin, maka akan menyebabkan terhalangnya pertolongan dan dokongan Ilahi kepada Jamaah itu.


*****


Semoga perkongsian kali ini dapat diambil pengajaran oleh kita yang bergerak dalam gerabak dakwah ini.

Allahu'Alam

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


-Sumber: Afat 'Ala Toriq(Wabak Sepanjang Jalan)-

::Bismillah::

Sedia maklum, negara kita Malaysia kaya dengan adat dan masakan yang berempah sekaligus menarik perhatian tetamu untuk hadir ke majlis.Namun begitu, semasa majlis berlangsung pelbagai ragam kita jumpai dan kita dengari lebih-lebih lagi semasa majlis kenduri kahwin. Pelbagai jenis 'puji-pujian' dan 'komen-komen' yang dilontar daripada bibir 'juri-juri pengantin yang bertauliah' yang kita dengari.

Oleh itu, junjungan Nabi Muhammad s.a.w telah meninggalkan petua kepada umatnya agar terhindar daripada perkara mazmumah yang boleh merosakkan amal kita dalam usaha untuk menggapai redha-Nya dan sorga-Nya!



*****


Pertama: Rasulullah menyuruh kita diam apabila terdorong untuk bertutur perkara yang tidak sepatutnya. Sahabat Abu Syuraih Al-Khuza’iy r.a. menyatakan bahawa Rasulullah pernah berpesan, “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam.”




Kedua: Rasulullah menyuruh kita berzikir bagi mengimbangi aktiviti lidah. Kebanyakan dari kita menggunakan lidah untuk kemudahan dan kepentingan diri dan terlupa memuji pencipta lidah setiap hari. Kata-kata yang dihasilkan oleh lidah dalam memuji pencipta lidah lebih sedikit berbanding dengan kata-kata yang dihasilkan ketika berkomunikasi sesama kita.

Menurut sahabat Ibnu Umar, Rasulullah pernah berkata, “Janganlah kamu banyak bercakap tanpa berzikir kepada Allah, kerana sesungguhnya banyak bercakap tanpa berzikir kepada Allah mengakibatkan kerasnya hati, dan orang yang paling jauh dengan Allah adalah orang yang paling keras hati.” Rasulullah pernah menyatakan menerusi Imam Bukhari, terdapat dua kalimat zikir yang paling disukai oleh Allah SWT yang sangat mudah diucapkan tetapi sangat berat untuk diamalkan. 
Kedua-dua kalimat itu adalah ‘subhanallah wa bihamdihi’ dan ‘subhanallah hil azim’ yang membawa maksud ‘Maha suci Allah dan segala pujian kepadaNya’ dan, ‘Maha suci Allah yang Maha Besar.’ Selain itu, dalam riwayat lain diceritakan, sesiapa yang membaca ‘subhanallah wa bihamdihi’ sebanyak 100 kali sehari, maka semua dosanya diampunkan oleh Allah SWT meski pun sebanyak buih di lautan.
*****
"(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah.Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram."

(ar-Ra'd, 13:28)

*****

Ketiga: Rasulullah mengajar agar kita sentiasa beristighfar untuk mengelakkan lidah kita dari terus ‘rancak’ membicarakan perkara yang kita sendiri tidak ketahui akan kesahihannya.

Istighfar bermaksud memohon keampunan dan kita digalakkan untuk beristighfar sekurang-kurangnya dengan mengucapkan, ‘Astaghfirullahazim’ disertakan ‘perasaan menyesal’ di dalam hati.
Rasulullah dalam amalan hariannya selalu beristighfar sebanyak 100 kali untuk mengelakkan keburukan dalam lidahnya.

Harap petua ini dapat membantu anda dalam usaha untuk menggapai redha-Nya sekaligus menggapai sorga-Nya. Senyum.


-Sekian-

:: Bismillah..


' Bawalah Roh Ramadhan Itu Hari-Hari ! '

' Bulan Ramadhan merupakan satu proses tarbiyah '

_______________________________________________________________________________

Semasa Ramadan

“Eh Joyah, kau nak tahu tak? Semalam aku nampak tok imam pergi mengendap rumah janda tua tu. Entah apa yang di… Eh, Astaghfirullah. Sekarang bulan puasa lah, bulan puasa tak baik mengumpat. Tak apalah, aku balik dulu. Dah nak berbuka, nasi pun belum ditanak lagi.”
“Apa adik ni, janganlah sentuh laptop abang. Habis ‘download’ tazkirah Ramadan abang terbatal. Terpaksa abang ‘download’ balik. Nasib bulan puasa. Kalau tak, siaplah…”
“Ish, banyak lagi juzuk yang belum dibaca. Kena ekspres sikit ni. Sekarang dah dalam tempoh sepuluh malam terakhir Ramadan.”

Selepas Ramadan

“Ya Allah Joyah, kau tahu tak semalam aku nampak siapa dengan janda tua tu? Haa, tok imam itulah. Nampak macam anak janda tua tu sakit, mulalah tok imam menggatal nak menolong. Dasar orang tua tak sedar diri..”
“Itulah, siapa suruh sentuh laptop abang. Berapa kali dah abang cakap, tak nak dengar. Padanlah muka kena penampar dua kali..”
“Em, malas pula rasa mengaji hari ni. Baca satu muka surat sehelai sahaja cukuplah. Lagipun dah cover baca banyak-banyak waktu Ramadan kan. Rehatlah pulak..”

Hebatnya POWER of Ramadan

POWER bukan sebarang power, POWER ada makna di sebaliknya.
P stands for Platform
Apabila tiba sahaja Ramadan, kebiasaannya kata-kata atau ucapan seperti “aku mahu Ramadan kali ini lebih baik” dan “moga Ramadan kali ini lebih terisi dengan ibadah berbanding Ramadan sebelumnya” yang kedengaran. Tiada terdengar ada yang berharap “moga Ramadan pada tahun ini lebih buruk”.
Kerana apa? Kerana Ramadan salah satu platform untuk menjadikan diri seseorang itu ke arah menjadi yang lebih baik. 
A platform to be a better person!
Dan kerana itu saat tiba sahaja Ramadan, kita semua mula mempersiapkan diri bersama senarai what-to-do-in-Ramadan. Pada bulan yang lain ada? Mungkin ada namun jarang dan kurang kesungguhan.
O stands for Opportunity
Opportunity bermaksud peluang. Ramadan membuka banyak peluang. Peluang menjadi hamba yang lebih baik dan peluang untuk menambahkan amalan serta meraih segala fadhilat yang tersedia. Andai sebelum ini bukanlah satu kebiasaan solat berjemaah di masjid maka pada bulan Ramadan rajin menjejakkan kaki ke masjid untuk solat terawih. Bukan 8 rakaat malah 20 rakaat. Tambahan, tiada satu hari yang ketinggalan.
Ramadan juga membuka peluang untuk mengajak tadarus Al-Quran bersama-sama. Ramadan membuka peluang meningkatkan lagi status ajakan terhadap kebaikan di Facebook. Ramadan membuka peluang meraih keampunan Allah dengan Lailatul Qadr.
W stand for Wish
Wish membawa maksud keinginan atau harapan. Pada bulan Ramadan ini begitu ramai yang terlihat memasang keinginan dan harapan. Harapan supaya dapat menghabiskan 30 juzuk Al-Quran dengan jayanya. Harapan supaya mulut terjaga daripada umpatan dan cacian. Harapan supaya lebih rajin mendirikan qiamullail.
Seribu satu harapan tertulis di minda.
E stands for Encouragement
Bulan Ramadan bulan galakan dan dorongan. Terasa ada satu semangat baru dalam diri terutama pada saat awal kedatangannya. Semangat begitu berkobar-kobar agar hari-hari yang dilalui dalam bulan ini diisi dengan pengisian yang bermanfaat. Diri terdorong untuk berazam agar hari-hari pada bulan ini penuh dengan ibadah yang terancang.
Galakan dan dorongan untuk melakukan pembaharuan dalam diri terutama.
R stands for Reckon
Reckon membawa maksud menghitung. ‘Self-reckoning’ bermakna muhasabah diri. Menghisab dan memuhasabahkan diri sendiri. Bulan Ramadan bulan yang sesuai dirasakan untuk lebih merenung kekhilafan dalam diri. Banyak manakah amalan selama ini? Bagaimanakah hubungan dengan Allah? Bagaimanakah pula akhlak terhadap manusia selama ini?
Sejauh mana bisa mengawal marah? Sejauh mana bisa mendidik hati menjadi seorang yang pemurah memberi dan berkongsi? Sejauh mana percakapan dihalakan kepada perkara-perkara yang positif?
Kerana itu ada yang muhasabah pada bulan Ramadan membawa kepada keputusan untuk istiqamah menutup aurat dengan sempurna walaupun selepas berlalunya Ramadan. Alhamdulillah.
Hebatnya Ramadan mendidik peribadi. Hebatnya Ramadan menghembus semangat dalam diri. Hebatnya Ramadan bisa mengetuk pintu hati insani melakukan pengislahan atau pembaikan terhadap diri. Benarlah Ramadan itu madrasah diri, tarbiyah hati.

Bekalan sepanjang tahun

Namun, kita bukan mahu hanya hebat beribadah pada roh bulan Ramadan yang hebat. Kita mahu membawa tarbiyah dari bulan Ramadan untuk tetap dijadikan bekalan pada bulan-bulan mendatang.
Jika pada bulan Ramadan sedayanya belajar untuk tidak mengumpat maka begitu juga yang akan diusahakan selepas Ramadan.
Jika pada bulan Ramadan sedayanya belajar menggagahkan diri untuk bangun malam maka begitu juga yang akan diusahakan selepas Ramadan.
Jika pada bulan Ramadan sedayanya cuba mengkhatamkan Al-Quran maka begitu juga yang akan diusahakan malah lebih baik lagi bersama tadabbur.
Kita mahu Ramadan hebat begitu maka pada bulan-bulan selepasnya juga begitu. Kita bukan mahu roh ibadah pada bulan Ramadan sahaja tetapi kita juga mahu roh ibadah itu pada bulan-bulan selepasnya. Ibadah, kebaikan, akhlak bukan hanya pada bulan Ramadan tetapi mesti diusahakan terlaksana hari-hari jua.
Wahai hamba, bawalah roh Ramadan itu hari-hari. Kerana kita bukan hamba Ramadan tetapi hari-hari kita merupakan hamba Ilahi!

Assalamualaikum.

Menanti kehadiran Ramadhan umpama rindu dan kasih yang tak berkesudahan. Ia datang bertamu kembali pada mereka yang merinduinya.. menanti untuk menyayanginya.. menanti untuk berkasih dengannya.. menanti untuk bermadu mesra dengannya..
Kerna Cinta Ramadhan itu, tidak pernah luntur dan padam.. setianya kepada sekalian ummat, membuatkan hati ini terlalu rindu untuk kembali bertemu dengannya.. biar berkali jiwa Ramadhan di sakiti dan dicalari, ia tetap hadir dengan senyuman yang bersinar..
rindu-ramadhan
Cinta Ramadhan itu terlalu mendalam.. padamu Ramadhan, ada sesuatu cinta yang tersirat yang sukar untuk di ungkapkan.. Sampaikan salamku pada Ramadhan agar ia sentiasa mengingati, bahawa aku sentiasa menanti kehadirannya..



Oh Ramadhan,
kedatanganmu semakin hampir,
rinduku padamu semakin menggila,
kau bawa seribu kemuliaan tak terhitung jumlahnya,
kau tutupi seribu kemusnahan bencana dunia.

Kini ku sedar, aku harus bersiap siaga,
supaya kemuliaan yang kau bawa, tidak berlalu begitu saja,
Al quran, akan sentiasa ku bawa,
mathurat, tahajud, menjadi bekalan ku yang utama

Bebarapa hari lagi tersisa
bekalan akan ku persiapkan secukupnya
kerana Aku ingin menemuimu penuh cinta
cinta pada yang Maha Esa.



Assalamualaikum!

Sebagai makhluk atau hamba Allah yang sentiasa di dalam serba kelemahan dan kekurangan sudah barang tentu kita berhajat kepada bantuan dan pertolongan orang lain yang lebih kaya dan lebih berharta, jadi Siapakah gerangan. yang dapat memberi pertolongan kepada kita dalam erti kata yang sebenarnya. Sebagai jawapannya, tentulah tidak lain dan tidak bukan hanya Allah SWT semata-mata yang benar-benar dapat menolong dan membantu hamba-hamba Nya yang sentiasa memerlukan pertolongan.

Oleh yang demikian, janganlah sekali-kali kita berdoa atau memohon kepada sesuatu selain daripada Allah Taala, kerana perbuatan itu termasuk ke dalam perbuatan syirik yang amat dibenci lagi dikutuk oleh Allah SWT. Sebenarnya doa adalah merupakan suatu ibadat yang besar ertinya dalam kehidupan setiap individu Muslim di alam jagat ini di mana ia mendatangkan manfaat dan faedah sama ada faedah kebaikan untuk dunia mahu pun akhirat dan sama ada untuk menolak atau menghindar dari segala bencana dan mara bahaya sama ada yang sudah berlaku atau belum berlaku, ini amatlah tepat sekali sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w,

Mahfum hadis Rasulullah (Riwayat al-Hakam);
“Berdoa itu memberi manfaat terhadap sesuatu. yang telah berlaku dan dari apa yang belum berlaku, maka lazimlah kamu dengan berdoa wahai hamba-hamba Allah.”

Dalam sebuah hadis lain pula Baginda pernah bersabda,

Mahfum hadis Rasulullah (Riwayat Ahmad);
“Tiada seorang pun yang mendoakan dengan satu doa melainkan Allah akan memberinya apa yang dipinta atau mencegah daripadanya dari kejahatan seumpamanya selagi ia tidak berdoa untuk melakukan dosa atau memutus silaturahim”

Berdasarkan kepada keterangan-keterangan di atas sudah jelas bagi kita bahawa berdoa amatlah perlu di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa lebih-lebih lagi di waktu-waktu tertentu yang memerlukan bantuan dan pertolongan daripada Allah SWT yang maha kaya lagi maha berkuasa. Sebaliknya, adalah menjadi suatu kesalahan yang besar kepada mereka yang tidak berdoa kepada Allah sebaliknya memohon kepada sesuatu selain daripada Allah.
Berdoa adalah menjadi suatu bentuk amalan harian bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh sebagai senjata buat mereka, bahkan para Nabi dan Rasul juga sentiasa berdoa kepada Allah di mana doa mereka sering di perkenan dan diterima oleh Allah, selain dari doa-doa biasa, maka Allah Taala memperuntukkan kepada para Rasul itu suatu doa yang paling mustajab lagi dimakbulkan dengan serta merta yang menjadi sakti atau mukjizat kepada mereka. Mereka telah berjaya dan berhasil di mana segala kehendak dan permintaannya itu dimakbulkan kecuali junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. yang masih lagi menyimpan doa tersebut untuk dipohon kepada Allah di akhirat kelak, ini telah dijelaskan sendiri oleh Baginda dalam sebuah hadis,

Mahfum hadis Rasulullah (Riwayat as-Syaihaan);

“Sesungguhnya bagi setiap Nabi itu ada doa yang sesungguhnya telah mendoakan dengannya pada umatnya lalu diperkenankan baginya san sesungguhnya aku telah menyimpan atau menyediakan doaku sebagai syafaat bagi umatku di hari akhirat nanti.”

Dalam mencari kemakbulan berdoa, perlu juga mencari masa-masa yang tertentu di mana doa Allah akan makbulkan seperti dijelaskan dalam hadis berikut;

Mahfum hadis Rasulullah (Riwayat at-Tirmizi);

Daripada Abi Umamah katanya: “Ditanya orang kepada Rasulullah s.a.w. Bilakah doa yang paling diperkenankan? Jawab Baginda: Ialah separuh malam yang kedua dan sesudah solat-solat yang diwajibkan (solat lima waktu)”


Mahfum hadis Rasulullah (Riwayat ibnu ‘Asaakar);

“Ada lima malam yang tidak ditolak doa padanya iaitu: Malam pertama dalam bulan Rejab, malam Nisfu Syaaban, malam Jumaat, malam Raya Fitrah dan malam Raya Qurban.”


Mahfum hadis Rasulullah (Riwayat an-Nasa’i);
“Tidak ditolakkan doa di antara Azan dan Iqamat.”


Mahfum hadis Rasulullah (Riwayat al-‘Aqiili);

“Tiga golongan di mana doa-doa mereka di perkenankan iaitu; Doa orang berpuasa, doa orang yang di dalam perjalanan dan doa orang yang dianiayai.”
Sebelum dari kita berdoa kepada Allah Taala dengan harapan semoga doa atau permintaan kita itu diterima, maka hendaklah terlebih dahulu kita mengetahui sedikit sebanyak mengenai peraturan dan adab-adab berdoa, di antaranya selain dari kita dituntut membuat pembersihan diri, berwuduk dan menghadap kiblat maka;

1. Hendaklah memujikan Allah Taala terlebih dahulu, kemudian diikuti dengan selawat ke atas junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. mi dapat difahamkan dan sebuah hadis Baginda yang berbunyi:

Mahfum hadis Rasulullah;

“Apabila berdoa oleh seseorang kamu maka hendaklah dimulakan dengan memuji Allah dan memuja-Nya kemudian hendaklah berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w., kemudian berdoalah dengan apa yang dikehendakinya.”

2. Hendaklah mengangkat kedua belah tangannya ke paras bahu ketika berdoa dan hendaklah menyapu ke mukanya apabila selesai dari berdoa. Ini berdasarkan kepada sebuah keterangan hadis;

Mahfum hadis Rasulullah (Riwayat at-Tirmizi);

Daripada Omar telah redha Allah kepadanya berkata ia: “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila menghulurkan dua tangannya ketika berdoa, tidak mengembalikan kedua-duanya sehingga menyapu ia dengan kedua-duanya akan mukanya.”

Dan dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh Abu Daud di mana Baginda bensabda:

Mahfum hadis Rasulullah (Riwayat Abu Daud);

“Apabila kamu memohon kepada Allah Taala (berdoa) maka pintalah dengan perut-perut tapak tangan kamu dan janganlah kamu memohon akan dia dengan belakang tangannya, kemudian janganlah kamu mengembalikan dia sehingga kamu menyapu dengannya akan muka kamu, maka sesungguhnya Allah menjadikan padanya berkat.”

3. Hendaklah percaya dan yakin dengan sepenuh hati bahawa doanya diperkenankan oleh Allah. Dalam konteks ini junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda:

Mahfum hadis Rasulullah (Riwayat at-Tirmizi);

“Berdoalah sekalian kamu kepada Allah pada hal kamu yakin diperkenankan dan ketahuilah bahawasanya Allah Taala tidak memperkenankan doa dari hati orang yang lalai lagi lupa.”

4. Hendaklah berdoa dengan penuh khusyuk dan tawaduk serta perlahankan suaranya, ini bertepatan sekali dengan perintah Allah sebagaimana tersebut dalam surah al-A’raf ayat 55.

Mahfum firman Allah (al-A’raf :55);

“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan secara perlahan (tersembunyi) kerana sesungguhnya Ia tidak suka kepada orang-orang yang melewati batas.”

Wallahhu’alam


Kehidupan adalah anugerah utama Illahi. Anugerah kehidupan memberi gambaran kebesaranNya buat kita manusia, yang wajib kita syukuri dan hargai.

Internet adalah kemudahan buat umat manusia. Justeru itu, manafaatkan ia untuk kesejahteraan diri kita dan umat sejagat. Sentiasalah kita beringat, apa yang kita lakukan, akan dipertanggungjawabkan pada kemudian hari.

Gunakan sebaik-baiknya kurnia Allah swt kepada kita. Halalkan kegunaan akal, hati dan lidah pada perkara yang bakal membawa kecemerlangan diri kita dunia dan akhirat. Kita hidup hanya sekali. Sekali 'pergi' tak kan kembali. Buat baik berpada-pada, dan buat jahat JANGAN sekali-kali.

Kewujudan website dakwah2u dengan blog sebagai wadah untuk meningkatkan nilai diri. Bermatlamatkan penyatuan ummah dengan ciri-ciri kemurnian budi dan budaya. Walaupun, dunia terus maju dengan teknologi, kita akan terus kekal dengan akhlak dan jati diri insani.


Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran

Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.
Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman

Allah SWT
Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadar:1-5)

Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.
Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.

Panduan

Dari maklumat serba sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan kepada umat Islam seluruhnya. Antara panduan berkenaan ialah seperti:

1. Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran
2. Ayat pertama diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan Pena dan Tulisan.
3. Kelemahan umat Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.
Apabila disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam al-Quran itu maka ianya memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat dalam al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.

Manakala penurunan al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘iqra” iaitu ‘baca’ di mana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah mengiringi dengan ayat yang bermaksud; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” Keadaan ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum melalui satu ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa”.
Perkara ketiga ialah hikmah dari anugerah malam al-qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah.

Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar, maka kalangan ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam al-qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah SAW. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah SWT supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Dengan beribadah di sepuluh malam terakhir itu, mudah-mudahan akan dapat menemuinya sebagai bekalan kehidupan akhirat

Know us

BADAN DAKWAH DAN IBADAH (BADIB) SMA AL-KHAIRIAH,TEMERLOH PAHANG

Our Team

Contact us

Nama

E-mel *

Mesej *